Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI)


Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) merupakan sebuah organisasi kesukarelaan yang berorientasikan projek, beramal-bakti ke arah menangani hal-hal kebajikan dan keperluan kaum wanita dan kanak-kanak.

Sejak ditubuhkan pada 17 November 1967, PERTIWI telah memainkan peranan penting dalam usaha untuk menangani isu-isu gender dan mengangkat hak-hak wanita di Malaysia. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, kebajikan, sosial dan keagamaan telah dilaksanakan, dengan tujuan untuk mendidik, memupuk dan memperkasakan wanita, tetapi pada waktu yang sama, mengekalkan peranan tradisi kekeluargaan.

Lima matlamat penubuhannya telah memberi ruang dan peluang untuk PERTIWI bergerak menangani cabaran dan memainkan peranan penting dalam sumbangan bakti kepada masyarakat umum. Lima matlamat tersebut adalah seperti yang berikut:

Berusaha ke arah mencapai keadilan sosial dan ekonomi untuk wanita; Menyebarkan ilmu pengetahuan bagi kemajuan wanita dengan cara perbincangan, penulisan, penterjemahan dan penyiaran; Berusaha meninggikan taraf pelajaran dan pendidikan bagi wanita dan kanak-kanak;
Berusaha supaya mana-mana undang-undang berkaitan dengan hak-hak wanita dilaksanakan dengan adil; dan Menyokong dan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan wanita lain yang bertujuan sama.

PERTIWI ditubuhkan pada November 1967, ketika Malaysia baru mencapai kemerdekaan dan menunggu pembaharuan untuk mengangkat statusnya ke tahap kemerdekaan dunia barat. Banyak aspek yang perlu diperbaiki. Walaupun agak muda pada masa itu, ahli-ahli PERTIWI bersemangat terhadap misi mereka untuk berkhidmat kepada negara muda ini dengan fokus kepada hal-hal berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak.


Ahli-ahli PERTIWI yang bertuah kerana berkelulusan pengajian tinggi dan pernah melihat dunia luar, dengan ilmu yang ditimba secara meluas, mereka memikul tanggungjawab untuk menangani isu-isu yang mendesak, bersama beberapa pasukan sukarela yang lain.

Bagi menangani isu-isu utama seperti ketidaksamaan jantina dalam sistem dan hak wanita Islam dalam undang-undang Syariah, ahli-ahli PERTIWI berusaha keras melobi untuk memberi kesedaran tentang keperluan untuk mencapai kesamaan terutamanya dalam sistem pendidikan dan tenaga kerja. Kepahitan situasi wanita Islam dalam pelaksanaan undang-undang Syariah ketika itu amat merisaukan. Resolusi telah dibentangkan melalui seminar dan persidangan untuk diserahkan kepada Kementerian Hal Ehwal Wanita (Ministry for Women’s Affairs) dan pihak yang berkenaan. Dorongan dan usaha gigih ahli-ahli PERTIWI dari 1967 sehingga 1990-an telah berjaya melaksanakan reformasi dalam kesamaan jantina di negara ini serta pelaksanaan yang lebih baik dalam undang-undang Syariah.

Atas kesedaran bahawa ibu memainkan peranan penting dalam pendidikan dan pengasuhan anak-anak, PERTIWI memulakan program-program yang menekankan kepentingan peranan ini. Dalam tahun-tahun awalnya, PERTIWI memberikan perhatian tambahan kepada ibu-ibu yang berpendidikan rendah atau tidak berpendidikan dan mereka diajar kemahiran asas membaca dan menulis. Kursus dijalankan untuk membuka minda mereka kepada keistimewaan pendidikan tinggi dan peluang yang menanti mereka dan anak-anak mereka.


Mereka yang mempunyai anak-anak kecil digalakkan menghantar anak-anak ke tadika-tadika yang dikendalikan PERTIWI. Pada awal 1970, PERTIWI telah menghantar seorang guru untuk menjalani latihan Montessori di UK. Sekembali ke Malaysia, guru ini telah melatih guru-guru lain dalam penggunaan pendekatan Montessori. Kanak-kanak yang menghadiri tadika PERTIWI berupaya membaca pada umur yang agak muda melalui pendekatan ini.
PERTIWI menawarkan satu pendekatan baru kepada pendidikan awal yang bertujuan untuk membuka minda kanak-kanak melalui sesi bercerita, muzik, seni dan ekspresi kreatif yang lain. Taman permainan tadika PERTIWI dilengkapi dengan rangka panjat yang kukuh dan set permainan untuk membina keyakinan kanak-kanak dalam pembangunan kemahiran motor secara menyeluruh. Untuk membiayai projek PERTIWI, program mengutip dana diadakan secara tetap. Bazar, pesta ria dan karnival adalah acara popular. Begitu juga konsert dengan penyertaan penyanyi popular pada masa itu. Satu acara mengutip dana yang bersifat lebih elitis ialah golf amal.

PERTIWI dengan bangganya menjadi organisasi sukarela pertama yang menganjurkan acara sedemikian lebih daripada 40 tahun lalu. Sejak itu, banyak organisasi lain membawa idea ini ke tahap yang lebih tinggi dengan melibatkan penaja korporat besar dan hadiah lumayan. 

Bagaimanapun, PERTIWI tidak menganjurkan acara golf amal beberapa tahun ini. Kebanyakan penyokong golf PERTIWI yang dahulunya bersemangat kini sudah berumur dan tidak lagi berminat untuk menyertai pertandingan golf. Untuk menghidupkan semula acara mengutip dana ini, PERTIWI berharap dapat menarik ahli-ahli muda yang dapat menjadikannya satu acara bermusim tetap demi perjuangan ini.

Dari masa ke semasa, PERTIWI mengadakan sesi klinik sehari di kampung-kampung kawasan terpencil Malaysia. Dengan bantuan doktor dan jururawat sukarelawan serta pembiayaan kecil, PERTIWI berjaya menganjurkan klinik sehari yang menyediakan nasihat perubatan asas kepada penduduk kampung.

Walaupun terdapat klinik kerajaan, ramai menyambut baik penerimaan nasihat perubatan dari perkhidmatan yang dibawa ke depan pintu mereka. Penyakit biasa yang menyebabkan rasa tidak selesa dan perasaan malu, walaupun tidak wajar, dapat dirawat dengan mudah oleh doktor sukarelawan. Terdapat juga kes-kes yang lebih serius yang berpotensi mengancam nyawa telah didiagnosis awal dan dirujuk kepada pakar untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan.

Projek Anak Angkat PERTIWI dilaksanakan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar. Dengan hanya RM80 sebulan, seorang ibu atau bapa angkat boleh meringankan tanggungan keperluan tambahan seorang kanak-kanak sepanjang tahun-tahun persekolahannya. Sesetengah ibu bapa angkat memantau kemajuan kanak-kanak itu dengan penuh kesabaran manakala yang lain hanya menyumbang amaun yang diperlukan untuk meringankan beban kewangan anak angkat.

PERTIWI sukacita mendapati kebanyakan anak angkat kami mencapai kejayaan dalam pelajaran dan kerjaya mereka. Kini banyak organisasi korporat mempunyai Program Anak Angkat mereka sendiri, maka PERTIWI telah mengurangkan aktiviti projek ini.


Projek dengan ibu-ibu tunggal sentiasa menjadi keutamaan PERTIWI. Selain memberi kaunseling, PERTIWI membantu menyediakan latihan pelbagai kemahiran untuk membolehkan ibu-ibu tunggal menambahkan pendapatan mereka untuk hidup dengan selesa atau sekadar.

Dengan perubahan masa, isu-isu yang dihadapi PERTIWI beberapa dekad yang lalu telah diganti dengan masalah sosial yang lebih besar. Wanita kini mempunyai pendidikan yang baik dan ramai mencari peluang yang lebih baik di Kuala Lumpur dan bandar lain. Penghijrahan ke kawasan bandar telah membawa masalah yang berpunca daripada kekurangan penginapan yang selamat untuk wanita muda yang ada kalanya bergantung pada rakan lelaki untuk menyediakan penginapan sementara apabila mereka masih baru di bandar tetapi kemudiannya mendatangkan pelbagai masalah lain yang dihadapi wanita muda. Kami sering membaca kes-kes sebegini dalam akhbar apabila ditonjolkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah gadis muda tidak mahu dipimpin tetapi menghendaki kebebasan penuh untuk melakukan apa yang mereka ingini. Apa yang PERTIWI berhasrat untuk membantu ialah wanita muda yang benar-benar ingin berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang yang lebih baik tanpa diambil kesempatan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab. Kami berhasrat untuk menyediakan tempat tinggal sementara sehingga mereka menjumpai penginapan yang sesuai di tempat lain. Kami juga ingin menjadi “rumah jauh dari rumah” mereka, iaitu tempat yang mereka boleh kembali untuk meluaskan jaringan dan mendapat bimbingan selanjutnya.

PERTIWI juga berhasrat untuk terus menyediakan jalan dan pelantar bagi wanita menyuarakan kebimbangan mereka serta mengembangkan dan memupuk bakat mereka dalam pertubuhan yang tidak mendiskriminasi atau menyekat harapan, aspirasi dan impian. Bagi warga tua, PERTIWI berhasrat untuk menyediakan tempat pemulihan, rekreasi dan aktiviti-aktiviti rangsangan lain. Mereka yang terlibat dalam PERTIWI pada tahun-tahun awalnya kini berada dalam umur 70-an dan 80-an. Mereka memahami keperluan untuk pusat komuniti warga tua yang sedemikian.

Penerapan nilai positif pada golongan muda adalah sesuatu yang tidak ternilai. Pendidikan formal telah disediakan dengan secukupnya oleh kerajaan. Bagaimanapun, pemupukan kekuatan batin dan penggalakan golongan muda dalam pemegangan nilai positif dan etika tinggi memerlukan program pendidikan berlainan yang PERTIWI berhasrat untuk menyediakan melalui kursus pendek yang dianjurkan sama ada pada hujung minggu atau cuti penggal. Diharapkan bahawa dengan asrama dan kemudahan yang sesuai, kursus-kursus ini boleh diadakan secara berkesan dengan kerjasama agensi-agensi lain yang mempunyai matlamat dan objektif serupa.

Wanita yang tinggal di Lembah Klang mempunyai keperluan tinggi terhadap bilik seminar, terutamanya untuk kelas dan ceramah. Tiada banyak tempat yang sesuai dan mampu dimiliki untuk mengadakan kelas-kelas yang digemari ini yang kini sering diadakan di kelab golf, rumah persendirian dan lain-lain. Dengan adanya pusat komuniti PERTIWI, semua aktiviti wanita dan kanak-kanak boleh diadakan di satu tempat. PERTIWI berhasrat untuk menyediakan ruang yang secukupnya untuk memenuhi hasrat pencarian ilmu yang berterusan.

Pendidikan komputer untuk generasi lebih tua merupakan satu lagi bidang yang diberikan perhatian PERTIWI. Kursus celik komputer akan terus diadakan untuk memastikan setiap warga mengikuti perkembangan kemajuan teknologi terkini. Semangat kesukarelawanan agak kurang dalam generasi muda kita. Mengimbas kembali, ahli-ahli pengasas PERTIWI masih muda apabila mereka menyedari perlunya memberi sumbangan tanpa mementingkan diri demi pembangunan sebuah negara muda dan rakyatnya. Memang diakui bahawa tiada lagi desakan sedemikian kerana rakyat Malaysia kini dapat menikmati keistimewaan setaraf dengan rakyat di negara-negara yang lebih maju. Bagaimanapun, akan sentiasa adanya ramai yang masih meminta pertolongan pasukan sukarelawan untuk sokongan dan bimbingan dan ada yang masih menerima manfaat daripada kerja yang dicabar dan dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan.

Satu kajian baru-baru ini mendapati bahawa lebih daripada 30% keluarga tidak tahu di mana anak-anak mereka berada pada kebanyakan masa. Mereka tidak duduk bersama-sama semasa makan dan tiada komunikasi kerap atau interaksi antara satu sama lain. Hasil daripada kekurangan perhubungan dan pengawasan ibu bapa, kemungkinan besar anak-anak akan beralih kepada rakan mereka untuk persahabatan dan bimbingan dalam tahun-tahun formatif penting mereka. Dari masa ke semasa, PERTIWI menganjurkan program-program khusus untuk menangani isu-isu rumahtangga dengan harapan untuk memperkukuhkan ikatan antara ibu bapa dan anak-anak mereka.

Pemahaman dan pengakuan terhadap keperluan dan harapan sesama anggota menjadi asas kepada kepercayaan dan penghormatan. Keluarga yang pecah belah akibat konflik seringnya akan menolak sebarang usaha untuk berdamai. Bagaimanapun, mereka yang menampil untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan tentunya telah mengolah langkah ke arah penyelesaikan isu terbesar mereka. PERTIWI telah dan akan terus memainkan peranan dalam bidang ini. Bilangan ibu Muslim yang tidak bernikah semakin meningkat di Malaysia, terutamanya di kawasan bandar. Ramai memilih untuk tidak memaklumkan ibu bapa atau saudara-mara mereka di kampung. Kerap kali, bapa kepada anak yang dilahir juga lama menghilangkan diri. Usaha PERTIWI adalah memberi nasihat kepada ibu-ibu tanpa nikah, dan sekiranya perlu, menyediakan penginapan kepada mereka sehingga bayi dilahirkan. Kita telah mendengar kes-kes sedih yang bayi dilahirkan di tandas atau dibiarkan mati di longkang.

Perlindungan juga diberi oleh pasukan sukarelawan yang dikendalikan oleh penganut Islam, Kristian dan Buddha. Kita tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa kes-kes ini adalah benar dan masih akan berlaku. Kita tidak boleh mengutuk dengan sewenang-wenangnya. Sehingga satu penyelesaian ditemui, kita mesti cuba untuk membantu ibu-ibu tanpa nikah yang sering tertekan.