Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)


Kelemahan dan kedaifan umat Islam dalam pelbagai sudut tidak perlu diperkatakan lagi. Perkara utama yang perlu diteliti adalah jalan penyelesaian agar umat Islam dapat membebaskan diri daripada kelemahan-kelemahan ini. Sejak beberapa tahun yang lalu, sekretariat World Muslim Consumers Association (WMCA) telah membuat kajian mendalam, yang mana kajian berkenaan mendapati antara punca utama kelemahan umat Islam adalah tiadanya perpaduan dan kordinasi dalam hampir semua bidang kehidupan.

Hakikatnya adalah umat Islam merangkumi satu pertiga penduduk dunia. Walaupun secara individu, ramai umat Islam mempunyai berbagai-bagai kepakaran dan kekayaan luar biasa, namun malangnya, kelebihan ini tidak mampu diterjemahkan kepada kekuatan yang ampuh. Ini disebabkan rapuhnya jaringan dan perpaduan antara mereka. Islam mewajibkan umatnya bersatu-padu, namun pada hari ini, ianya tidak berlaku. Malah perpaduan dan kerjasama erat yang diamalkan bangsa Yahudi, Cina, Jepun, Jerman mahupun Sikh langsung tidak wujud dalam masyarakat Islam.

Inilah yang mengakibatkan umat Islam dan negara-negara Islam menjadi lemah dan dengan amat mudah diperbodoh, diperhamba, diperkuda dan dipersendakan, hinggakan rata-rata masyarakat Islam terpaksa bergantung kepada musuh untuk bantuan dan perlindungan. Bahkan barangan makanan pun terpaksa diperolehi daripada masyarakat bukan Islam. Firman Allah SWT dalam surah Arra’d, ayat 11, mafhumnya: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” Petikan ayat Quran ini amatlah benar dan tepat sekali. Hanya umat Islam sendiri yang mampu mengubah dan mencorakkan nasib mereka sendiri.

Ekoran kealpaan dan kelemahan para pengguna Islam itu sendiri, ramai pengusaha Muslim dan Melayu di Malaysia sering terpaksa tutup kedai kerana kurang sambutan daripada para pembeli, sungguhpun mereka berniaga di kawasan yang mana penduduknya terdiri daripada orang Melayu/Islam. Tanpa menidakkan kelemahan penjual dan pengusaha itu sendiri (layanan yang kurang baik, pilihan barangan yang kurang, harga yang lebih mahal ataupun lokasi yang kurang baik), para pengguna pula sering menghukum peniaga, hinggakan kelemahan tertentu pengusaha tidak langsung diberi sebarang pertimbangan atau kelonggaran. Tindakan memboikot atau tidak lagi berkunjung ke kedai tersebut menyebabkan pengusaha tidak dapat bertahan dan akhirnya, mereka terpaksa gulung tikar.

Dalam konteks yang sama, terdapat banyak juga kes, yang mana barangan keluaran orang Islam/Melayu yang sama harga dan mutunya (contohnya, petrol, gas masak, sos tomato & cili, susu dan lain-lain barangan harga terkawal) tidak mendapat sokongan sewajarnya daripada pengguna Melayu/Islam sendiri. Para pengguna Islam tidak peka mahupun sedar akan kekuatan kuasa membeli mereka dan dengan bersahaja membeli barangan yang dijual ataupun dihasilkan oleh orang bukan Islam. Seharusnya pembelian daripada orang bukan Islam hanya dibuat apabila pengguna Islam benar-benar tiada pilihan lain dan pada waktu darurat.

Senario sebenar pada hari ini adalah begitu ramai pengguna Islam yang amat bersahaja, hinggakan asal-usul barangan yang dibeli langsung tidak diambil kira (“jangan usul” menjadi alasan mereka!). Mereka langsung tidak mempedulikan soal halal haram, identiti pembekal, pengeluar ataupun lebih penting lagi, agenda pemiliknya. Bagi mereka, perkara yang penting dan perlu dipertimbangkan cumalah rasa, keselesaan, kepuasan dan gaya. Mereka langsung tidak menjadikan kepentingan ummah sebagai salah satu perkara penting yang perlu dipertimbangkan.

Di sudut yang lain pula, ramai juga para pengguna Islam yang tanpa sebarang keraguan membeli ataupun berkunjung ke kedai dan gerai makan yang memaparkan tanda “Ditanggung Halal” oleh pemilik kedai yang tidak diketahui agama sebenarnya, malahan ramai daripada pemilik tersebut disahkan sebagai bukan Islam. Bolehkah “jaminan halal” yang dikeluarkan oleh pengeluar makanan gerai tepi jalan orang bukan Islam diyakini halal mengikut Syariat Islam? Siapakah yang menjamin atau menanggung keabsahan status halal itu?

Pada masa yang sama, logo-logo halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kepada pengusaha-pengusaha bukan Islam seolah-olah membantu mereka menembusi pasaran orang Islam. Tindakan ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa tidak menimbangkan agenda ummah dalam perspektif yang lebih besar, seperti implikasi dari segi persaingan kepada peniaga Muslim. Implikasi kealpaan yang dianggap kecil ini membawa bencana yang amat besar kepada dunia Islam. Akibatnya kepada ekonomi masyarakat Islam amatlah menakutkan, selain kesan makanan haram dan was-was yang berleluasa di pasaran, yang semestinya memberikan impak kepada penerimaan amal ibadah umat Islam.

Harapan kita agar suatu hari nanti, umat Islam hanya menggunakan produk yang benar-benar “HALAL” mengikut Syariat Islam! Hasilnya, mudah-mudahan doa diterima, hidup diberkati, maruah terbela dan kukuhlah ekonomi ummah serta terlepaslah kita daripada penindasan para kapitalis, Insya Allah. KEPENTINGAN MAKANAN HALAL BAGI SELURUH UMAT MANUSIA, Al-Hafizh Abu Bakar bin Mardawaih meriwayatkan dari Ibnu Abbas, dia berkata: “Saya membaca ayat, ‘Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang ada di bumi’ di dekat Nabi saw. Lalu Sa’ad bin Abi Waqash berdiri seraya berkata, ‘Ya Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar kiranya doaku dikabulkan’.

Maka Nabi bersabda, ‘Hai Sa’ad, perbaikilah makananmu nescaya doamu akan dikabulkan’. Demi Zat yang diri Muhammad ada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya yang memasukkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, maka ibadahnya tidak akan diterima Allah selama 40 hari. Hamba mana sahaja yang dagingnya tumbuh dari barang haram dan riba, maka api neraka lebih layak untuk melahapnya.


Dalam konteks zaman moden, perkataan halal mempunyai madlulnya yang tidak jauh bezanya dengan perbincangan fiqh, sekadar ia bersifat ringkas bagi memenuhi kehendak pihak yang mengeluarkan permit dan lesen perniagaan. Perintah Perihal Dagangan (penggunaan perbahasan Halal) 1975 mentakrifkan perkataaan “Halal”, “makanan orang Islam” atau makanan “ditanggung Halal” seperti yang berikut:

Bukanlah terdiri daripada ataupun mengandungi apa-apa bahagian ataupun benda daripada binatang yang orang Islam dilarang oleh hukum Syarak memakannya ataupun yang tidak disembelih mengikut hukum Syarak;

Tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai apa-apa alat yang tidak bebas daripada benda-benda najis menurut hukum Syarak;

Tidak disedia, diproses ataupun dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas daripada benda-benda najis mengikut hukum Syarak; dan Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan ataupun berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan (a), (b) dan (c) ataupun apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum Syarak.

VISI UTAMA PENUBUHAN
Penubuhan ini adalah bertujuan untuk menjaga dan membela hak dan mengembalikan maruah para pengguna Islam, melalui perlaksanaan aktiviti-aktiviti yang proaktif dan berstrategi. Melalui penyebaran maklumat dan pendidikan yang terancang, adalah diharapkan setiap pengguna Islam benar-benar sedar dan bersama-sama menyumbang untuk mengembalikan maruah umat Islam yang kian tercemar dan terabai. PPIM berusaha dengan gigih untuk menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi umat Islam khasnya dan ekonomi Malaysia amnya sebagai ikhtiar untuk menjana ke arah perubahan yang positif  di dalam kehidupan ummah.

OBJEKTIF PENUBUHAN

  • Memberi kesedaran kepada setiap pengguna Islam akan tanggungjawab diri sendiri terhadap memperjuangkan hak kepenggunaan Islam;
  • Memberi kesedaran kepada pihak pembekal akan tanggungjawab mereka tentang tuntutan Islam dalam kepenggunaan;

Menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi umat Islam khasnya dan ekonomi Malaysia amnya; Mencari penyelesaian kepada permasalahan kepenggunaan Islam melalui aktiviti-aktiviti terancang dan proaktif; Menjadi sebuah organisasi yang berpengaruh dan menyertai arus pembangunan negara dengan cara positif.