Pertubuhan Nadi Sihat (Nadi Sihat)


 Pertubuhan Nadi Sihat (Nadi Sihat) telah ditubuhkan pada 19hb Ogos 2014 dengan nombor pendaftaran PPM-013-10-18092014. Objektif utama Pertubuhan Nadi Sihat adalah untuk membantu kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan dalam masa yang sama melahirkan masyarakat yang mengamalkan dan menjaga kesihatan.

Dalam merealisasikan matlamat tersebut, Nadi Sihat telah menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan setiap lapisan masyarakat dan umur dan yang terbaru adalah Mount Kinabalu Climbing Challenge 2015 (MKCC 2015) pada 26-29 April 2015. Program tersebut merupakan program pendakian yang merangkumi pelbagai peringkat masyarakat termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan telah mendapat pengiktirafan sebagai program pertama yang bersiaran secara langsung daripada puncak Gunung Kinabalu.

Nadi Sihat juga telah berkolaborasi dengan Qariah Masjid Ubudiah, Ampang dalam melaksanakan Misi Kemanusiaan Banjir (Pray for Pantai Timur) di Kelantan pada 4 Januari 2015. Nadi Sihat juga telah menganjurkan “Merdeka Raya & Penang National Park Trekking” sempena Sambutan Hari Merdeka 2015 pada 29-31 Ogos 2015 yang lalu.

Nadi Sihat diterajui oleh Dato Haji Ismail bin Kijo sebagai pengerusi pertubuhan, Encik Fahisha
Irwan Mustafa sebagai Setiausaha/Ketua Sekretariat  dengan sokongan 7 orang ahli jawatankuasa yang lain bagi memastikan kelangsungan aktiviti dan program pertubuhan.

Aktiviti pendakian gunung dan ‘camping’ telah menjadi trend di kalangan peminat sukan lasak dan pencinta alam dewasa kini. Boleh dikatakan setiap minggu terdapat ekspedisi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Puncak-puncak bukit dan gunung dipenuhi oleh pendaki-pendaki di setiap hujung minggu. Penganjuran ‘event’ pendakian seperti Mount Kinabalu Climbing Challenge, Stong Hill, International Climbathon dan Mendaki Gunung Tahan juga telah merancakkan lagi industri pelancongan tanah air seterusnya menarik minat lebih ramai masyarakat tempatan untuk lebih meminati bidang ini selaras dengan gaya hidup sihat.

Pelbagai perkara perlu dititikberatkan sebelum menceburi aktiviti pendakian ini. Selain daripada
minat, aspek yang penting dalam pendakian adalah kemahiran teknikal, fizikal dan kekuatan mental.
Aktiviti pendakian gunung dan ‘camping’ telah menjadi trend di kalangan peminat sukan lasak dan
pencinta alam. Aspek keselamatan perlu didedahkan kepada setiap pendaki agar mereka sentiasa bersedia dalam berdepan dengan sebarang bentuk kemungkinan bencana Bagi pihak agensi keselamatan, setiap anggota perlulah sentiasa berada dalam keadaan siap siaga jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini selain sentiasa meningkatkan tahap kecekapan dalam perkhidmatan.

Manakala bagi pihak kerajaan, simulasi secara berkala amat penting untuk menguji dan memastikan kesediaan mereka dalam menangani situasi kecemasan dan mengenalpasti sebab-sebab yang menghalang kelancaran pengurusan mereka.


EKSPEDISI DAN SIMULASI MENYELAMAT GUNUNG STONG 2016
Pertubuhan Nadi Sihat telah memilih Gunung Stong yang terletak di Dabong, Kelantan sebagai lokasi program ekspedisi dan simulasi menyelamat pada 18 sehingga 21 Mac 2016 ini. Gunung Stong berketinggian 4,664 kaki (1,421 meter) dari aras laut dan terdapat air terjun Jelawang setinggi 303 meter dari aras laut di gunung ini yang merupakan air terjun berlata tertinggi di Asia Tenggara. Ia juga merupakan salah satu tarikan pelancong yang utama di Negeri Kelantan.

Peserta ekspedisi akan memulakan perjalanan dari Ampang pada malam 18 Mac 2016 dengan menaiki bas sewa khas ke Hentian Rehat dan Rawat Gua Musang untuk persiapan diri sebelum bergerak ke Gunung Stong atau kawasan Stong State Park.

Peserta akan memulakan aktiviti seawal jam 8.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan Stong State Park bersama-sama lebih kurang 300 pelajar Universiti Malaysia Kelantan dan anggota bomba dan anggota polis. Ini dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar dan melahirkan rasa tanggungjawab dalam setiap diri peserta untuk bersama-sama memelihara serta memulihara alam semulajadi untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Seterusnya, Ahli Dewan Undangan Negeri Dabong, YB. Dato’ Ramzi Abdul Rahman akan merasmikan pelancaran Ekspedisi dan Simulasi Menyelamat Gunung Stong 2016 ini sebelum melepaskan para peserta untuk aktiviti pendakian. Kesemua peserta akan mendaki sehingga ke Kem Baha dan bermalam di sana. Di Kem Baha, mereka akan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan 1 akan meneruskan pendakian ke puncak Gunung Stong sementara kumpulan 2 akan mendaki Gunung Ayam. Simulasi menyelamat yang digambarkan adalah keadaan di mana berlaku kejadian bencana alam. Senario latihan bencana alam itu adalah bagi memberi kesedaran kepada para pendaki tentang langkah-langkah keselamatan dan menyelamat yang perlu diambil apabila kejadian bencana di luar jangkaan berlaku.


Satu bencana alam telah melanda kawasan Stong dan menyebabkan dua pendaki daripada Kumpulan 1 mengalami kecederaan parah dan memerlukan rawatan segera. Beberapa pendaki lain turut terjejas yang mana sebilangan daripada mereka mengalami kecederaan ringan. Walaubagaimanapun, pendaki-pendaki tidak dapat turun ke kaki gunung tanpa bantuan kerana laluan perhubungan terputus. Hal ini kerana jalan trek telah terkambus dengan tanah runtuh dan pokok-pokok tumbang selain jambatan utama yang runtuh akibat daripada bencana alam tersebut.

Usaha mencari dan menyelamat hanya dapat dilakukan melalui bantuan udara dan bantuan darat dari pihak yang lebih pakar. Bantuan mencari dan menyelamat yang awal tiba dalam kejadian simulasi ialah bantuan udara dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan dengan menaiki sebuah helikopter untuk memberikan rawatan kecemasan kepada pendaki-pendaki yang mengalami kecederaan parah dan membawa mereka ke hospital berdekatan.

Sementara itu, unit bantuan mencari dan menyelamat di gunung dari Jabatan Bomba dan Penyelamat telah bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia, Kontinjen Kelantan dan pasukan perubatan dari Hospital Daerah Kuala Krai untuk mencari dan menyelamat pendaki-pendaki kumpulan 2 yang terperangkap di hutan Gunung Ayam. Mereka menyediakan bantuan “flying fox” untuk para pendaki merentasi sungai dan mengiringi mereka keluar dari gunung tersebut dengan selamat. Pasukan perubatan daripada hospital berdekatan turut mendirikan “booth” rawatan sementara di kawasan kaki bukit untuk memberikan rawatan kepada pendaki-pendaki yang mengalami kecederaan ringan.

Pasukan-pasukan yang terlibat di Gunung Stong adalah Pasukan Bomba dan Penyelamat, dengan bantuan pasukan Polis DiRaja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Kelantan dan Pasukan Perubatan daripada hospital berdekatan. Objektif eksesais ini adalah untuk mempraktikkan respon para pendaki apabila berdepan bencana alam yang tidak dijangkakan dan secara tidak langsung melatih pasukan-pasukan yang terlibat terhadap prosedur bantuan kemanusiaan dan bencana di antara pusat-pusat kordinasi yang terlibat.

Tidak dinafikan bahawa kejadian sedemikian adalah satu gambaran yang realistik kerana ia telahpun berlaku pada 5 Jun 2015 apabila Sabah dilanda gempa bumi berskala 6 dan menyebabkan pendaki-pendaki di Gunung Kinabalu melalui detik yang mencemaskan apabila terperangkap selama beberapa hari apabila laluan perhubungan telah terputus.