Pertubuhan Nadi Sihat (Nadi Sihat)


 Pertubuhan Nadi Sihat (Nadi Sihat) telah ditubuhkan pada 19hb Ogos 2014 dengan nombor pendaftaran PPM-013-10-18092014. Objektif utama Pertubuhan Nadi Sihat adalah untuk membantu kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan dalam masa yang sama melahirkan masyarakat yang mengamalkan dan menjaga kesihatan.

Dalam merealisasikan matlamat tersebut, Nadi Sihat telah menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan setiap lapisan masyarakat dan umur dan yang terbaru adalah Mount Kinabalu Climbing Challenge 2015 (MKCC 2015) pada 26-29 April 2015. Program tersebut merupakan program pendakian yang merangkumi pelbagai peringkat masyarakat termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan telah mendapat pengiktirafan sebagai program pertama yang bersiaran secara langsung daripada puncak Gunung Kinabalu.

Nadi Sihat juga telah berkolaborasi dengan Qariah Masjid Ubudiah, Ampang dalam melaksanakan Misi Kemanusiaan Banjir (Pray for Pantai Timur) di Kelantan pada 4 Januari 2015. Nadi Sihat juga telah menganjurkan “Merdeka Raya & Penang National Park Trekking” sempena Sambutan Hari Merdeka 2015 pada 29-31 Ogos 2015 yang lalu.

Nadi Sihat diterajui oleh Dato Haji Ismail bin Kijo sebagai pengerusi pertubuhan, Encik Fahisha
Irwan Mustafa sebagai Setiausaha/Ketua Sekretariat  dengan sokongan 7 orang ahli jawatankuasa yang lain bagi memastikan kelangsungan aktiviti dan program pertubuhan.

Aktiviti pendakian gunung dan ‘camping’ telah menjadi trend di kalangan peminat sukan lasak dan pencinta alam dewasa kini. Boleh dikatakan setiap minggu terdapat ekspedisi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Puncak-puncak bukit dan gunung dipenuhi oleh pendaki-pendaki di setiap hujung minggu. Penganjuran ‘event’ pendakian seperti Mount Kinabalu Climbing Challenge, Stong Hill, International Climbathon dan Mendaki Gunung Tahan juga telah merancakkan lagi industri pelancongan tanah air seterusnya menarik minat lebih ramai masyarakat tempatan untuk lebih meminati bidang ini selaras dengan gaya hidup sihat.

Pelbagai perkara perlu dititikberatkan sebelum menceburi aktiviti pendakian ini. Selain daripada
minat, aspek yang penting dalam pendakian adalah kemahiran teknikal, fizikal dan kekuatan mental.
Aktiviti pendakian gunung dan ‘camping’ telah menjadi trend di kalangan peminat sukan lasak dan
pencinta alam. Aspek keselamatan perlu didedahkan kepada setiap pendaki agar mereka sentiasa bersedia dalam berdepan dengan sebarang bentuk kemungkinan bencana Bagi pihak agensi keselamatan, setiap anggota perlulah sentiasa berada dalam keadaan siap siaga jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini selain sentiasa meningkatkan tahap kecekapan dalam perkhidmatan.

Manakala bagi pihak kerajaan, simulasi secara berkala amat penting untuk menguji dan memastikan kesediaan mereka dalam menangani situasi kecemasan dan mengenalpasti sebab-sebab yang menghalang kelancaran pengurusan mereka.


EKSPEDISI DAN SIMULASI MENYELAMAT GUNUNG STONG 2016
Pertubuhan Nadi Sihat telah memilih Gunung Stong yang terletak di Dabong, Kelantan sebagai lokasi program ekspedisi dan simulasi menyelamat pada 18 sehingga 21 Mac 2016 ini. Gunung Stong berketinggian 4,664 kaki (1,421 meter) dari aras laut dan terdapat air terjun Jelawang setinggi 303 meter dari aras laut di gunung ini yang merupakan air terjun berlata tertinggi di Asia Tenggara. Ia juga merupakan salah satu tarikan pelancong yang utama di Negeri Kelantan.

Peserta ekspedisi akan memulakan perjalanan dari Ampang pada malam 18 Mac 2016 dengan menaiki bas sewa khas ke Hentian Rehat dan Rawat Gua Musang untuk persiapan diri sebelum bergerak ke Gunung Stong atau kawasan Stong State Park.

Peserta akan memulakan aktiviti seawal jam 8.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan Stong State Park bersama-sama lebih kurang 300 pelajar Universiti Malaysia Kelantan dan anggota bomba dan anggota polis. Ini dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar dan melahirkan rasa tanggungjawab dalam setiap diri peserta untuk bersama-sama memelihara serta memulihara alam semulajadi untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Seterusnya, Ahli Dewan Undangan Negeri Dabong, YB. Dato’ Ramzi Abdul Rahman akan merasmikan pelancaran Ekspedisi dan Simulasi Menyelamat Gunung Stong 2016 ini sebelum melepaskan para peserta untuk aktiviti pendakian. Kesemua peserta akan mendaki sehingga ke Kem Baha dan bermalam di sana. Di Kem Baha, mereka akan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan 1 akan meneruskan pendakian ke puncak Gunung Stong sementara kumpulan 2 akan mendaki Gunung Ayam. Simulasi menyelamat yang digambarkan adalah keadaan di mana berlaku kejadian bencana alam. Senario latihan bencana alam itu adalah bagi memberi kesedaran kepada para pendaki tentang langkah-langkah keselamatan dan menyelamat yang perlu diambil apabila kejadian bencana di luar jangkaan berlaku.


Satu bencana alam telah melanda kawasan Stong dan menyebabkan dua pendaki daripada Kumpulan 1 mengalami kecederaan parah dan memerlukan rawatan segera. Beberapa pendaki lain turut terjejas yang mana sebilangan daripada mereka mengalami kecederaan ringan. Walaubagaimanapun, pendaki-pendaki tidak dapat turun ke kaki gunung tanpa bantuan kerana laluan perhubungan terputus. Hal ini kerana jalan trek telah terkambus dengan tanah runtuh dan pokok-pokok tumbang selain jambatan utama yang runtuh akibat daripada bencana alam tersebut.

Usaha mencari dan menyelamat hanya dapat dilakukan melalui bantuan udara dan bantuan darat dari pihak yang lebih pakar. Bantuan mencari dan menyelamat yang awal tiba dalam kejadian simulasi ialah bantuan udara dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan dengan menaiki sebuah helikopter untuk memberikan rawatan kecemasan kepada pendaki-pendaki yang mengalami kecederaan parah dan membawa mereka ke hospital berdekatan.

Sementara itu, unit bantuan mencari dan menyelamat di gunung dari Jabatan Bomba dan Penyelamat telah bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia, Kontinjen Kelantan dan pasukan perubatan dari Hospital Daerah Kuala Krai untuk mencari dan menyelamat pendaki-pendaki kumpulan 2 yang terperangkap di hutan Gunung Ayam. Mereka menyediakan bantuan “flying fox” untuk para pendaki merentasi sungai dan mengiringi mereka keluar dari gunung tersebut dengan selamat. Pasukan perubatan daripada hospital berdekatan turut mendirikan “booth” rawatan sementara di kawasan kaki bukit untuk memberikan rawatan kepada pendaki-pendaki yang mengalami kecederaan ringan.

Pasukan-pasukan yang terlibat di Gunung Stong adalah Pasukan Bomba dan Penyelamat, dengan bantuan pasukan Polis DiRaja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Kelantan dan Pasukan Perubatan daripada hospital berdekatan. Objektif eksesais ini adalah untuk mempraktikkan respon para pendaki apabila berdepan bencana alam yang tidak dijangkakan dan secara tidak langsung melatih pasukan-pasukan yang terlibat terhadap prosedur bantuan kemanusiaan dan bencana di antara pusat-pusat kordinasi yang terlibat.

Tidak dinafikan bahawa kejadian sedemikian adalah satu gambaran yang realistik kerana ia telahpun berlaku pada 5 Jun 2015 apabila Sabah dilanda gempa bumi berskala 6 dan menyebabkan pendaki-pendaki di Gunung Kinabalu melalui detik yang mencemaskan apabila terperangkap selama beberapa hari apabila laluan perhubungan telah terputus.
Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Bentan Malaysia


SEJUMLAH artis dari tiga negara memeriahkan panggung konsert amal bertajuk “Otai Masih Berbisa”, Sabtu (5/3) lalu. Bertempat di Auditorium D’Surry Kompleks JKKN Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia, konsert tersebut dipimpin oleh Dato’ Nazri Kamal Al Bentan, zuriat Laksamana
Megat Sri Rama. Presiden Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Bentan Malaysia ini memberi tahu, semua hasil dana melalui konsert amal ini akan disumbangkan kepada golongan ibu tunggal yang bermastautin di Seremban, yang juga merupakan tempat kelahiran Dato Nazri.

Konsert amal selama empat jam ini, disemarakkan oleh artis-artis Malaysia, Singapura dan Indonesia. Masing-masing menampilkan koleksi lagu-lagu lama. Kumpulan muzik tradisional Fasola dari Batam, misalnya, memainkan lagu Sayang Laksamana Bentan, Seri Gunung Betan, Kasihnya Ibu. Para penonton yang seperti terpukau dengan nyanyian tersebut dengan dendangan lagu bersama Niesa Seprawati alias Ica, biduan Fasola, pimpinan Budi Kailani. Fasola tampil kacak dengan 5 pemain muziknya. Di Batam, Fasola kerap mengisi kegiatan seni tajaan Dinas Pariwisata Kota Batam.


Disusuli nyanyian Dwan Olan, artis Malaysia dengan tajuk Cinta Bandar Tasik Selatan. Poey yang merupakan bekas vokalis Sting mengimbau ingatan anak-anak muda Melayu tanah air dengan lagu lama “Dalam Diam Kumencintaimu itu”. Masih berbisa mahupun sudah berusia. Seterusnya, menampilkan Sheeda, artis dangdut Malaysia, membawakan lagu “Angkat Kaki”, Mac dari Singapura menyanyikan lagu “Menggapai Mimpi”, penyanyi muda berbakat, Syah Putra dan Nen Tebabo, penyampai radio Negeri FM berduet bersama Nila, penyampai radio RRI Batam.

Dato Nazri memberi tahu Konsert amal ini, merupakan salah satu aktiviti amal Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia. Persatuan Kebajikan Zuriat juga telah mengadakan pertandingan sepak bola bersama artis dan dana hasil kutipan dari pertandingan yang melibatkan selebriti negeri jiran itu digunakan untuk membantu anak yatim, sekaligus di salurkan kepada Tabung Derma Selamatkan Gaza. Antara lain pertandingan bola sepak di antara artis Negeri Sembilan pula dianjurkan bersempena Hari Keputeraan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan. Pertandingan golf amal untuk membantu Pusat Tahfiz Al Qur’an As Salihin. Program Kerja Amal Serumpun ke Kabupaten Bintan, serta Program Membantu Anak Yatim lainnya. Persatuan Bentan bukan sahaja melakukan program di dalam negeri, malah pelbagai program amal usahasama di antara Malaysia dan Indonesia.

“Semoga kegiatan seperti ini berterusan demi membantu sesama saudara islam.”

Sekadar penyegar minda, Dato’ Nazri Kamal Al Bentan, selaku Presiden dan Pengasas Persatuan ini, adalah juga seniman muzik yang menghasilkan pelbagai karya. Lagu “Sayang Laksamana Bentan” dan “Sri Gunung Bentan”, yang cukup popular itu merupakan buah karyanya. “Saya senang lagu-lagu ini dinyanyikan penuh penghayatan hingga memukau penonton dan undangan VIP yang hadir menyaksikan konsert,” kata Dato Nazri. “Semoga mendapat tanggapan positif dan dukungan dari semua pihak,” tambahnya lagi


Tidak lupa, Dato’ Nazri memberi ucapan terima kasih kepada tamu VIP malam itu, di antaranya YB Dato Abd Samad Adun Seri Menanti dan YM Dato Baginda Tan Mas Mohamad Abdullah Timbalan Undang Luak Johol. Juga kepada Zuriat Daeng Marewa Tengku Daeng Bahar Ismail Bin Tengku Daeng Aman, dan, ini dia, Dato Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) yang juga komposer
terkenal tanah air yang banyak menghasilkan lagu-lagu popular Dato Siti Nurhaliza.
TPP bertujuan meningkatkan perdagangan dan 
pelaburan dalam kalangan negara anggota, 


Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Inggeris Trans-Pacific Partnership Agreement atau TPPA, kadangkala dirujuk sebagai TPP sahaja) adalah perjanjian perdagangan bebas yang dirunding oleh 12 negara di rantau Asia Pasifik iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam. Perjanjian ini dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015 di Atlanta, Amerika Syarikat.

Perjanjian ini bermula pada 2005 sebagai Perjanjian Perkongsian Strategik Trans-Pasifik (TPSEP atau P4). Negara-negara anggota telah menetapkan matlamat untuk memuktamadkan perundingan pada tahun 2012 tetapi isu-isu kontroversi seperti pertanian, harta intelek, perkhidmatan dan pelaburan telah menyebabkan perundingan masih berterusan sehingga ia dimuktamadkan pada 2015. Beberapa siri rundingan telah dibuat antaranya Ottawa (2014), Hanoi (2014), Hawaii (2015) dan Atlanta (2015). Kelulusan TPP adalah salah satu matlamat utama dalam agenda perdagangan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

TPP bertujuan meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota, menggalakkan inovasi, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, dan menyokong penjanaan dan pengekalan pekerjaan. Sungguh pun begitu, perundingan ini dikritik antaranya oleh golongan profesional perubatan, aktivis kebebasan internet, aktivis alam sekitar, kumpulan buruh dan ahli politik kerana ia dilakukan secara rahsia, skop perjanjian yang yang meluas, dan klausa kontroversi dalam draf yang dibocorkan.

KEAHLIAN DAN PENYERTAAN
Perundingan untuk menubuhkan TPSEP pada mulanya hanya disertai oleh tiga negara iaitu Chile, New Zealand dan Singapura. Ia kemudian disertai oleh Brunei. Perjanjian asal TPSEP mengandungi klausa penyertaan dan menegaskan komitmen negara-negara anggota untuk menggalakkan penyertaan ke dalam Perjanjian oleh negara-negara lain.

Pada bulan Januari 2008, Amerika Syarikat telah bersetuju untuk menyertai perbincangan dengan empat negara anggota (P4) berkenaan liberalisasi perdagangan dalam perkhidmatan kewangan. Pada 22 September 2008, Wakil Perdagangan AS Susan C. Schwab mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan memulakan rundingan dengan negara P4 untuk menyertai TPP, dengan pusingan pertama perundingan pada awal tahun 2009.

Pada bulan November 2008, Australia, Vietnam, dan Peru mengumumkan bahawa mereka akan menyertai blok perdagangan P4. Pada bulan Oktober 2010, Malaysia juga mengumumkan sedia menyertai perundingan TPP. Pada bulan Jun 2012, Kanada dan Mexico mengumumkan bahawa mereka akan menyertai rundingan TPP. Kanada dan Mexico scara rasmi menyertai rundingan TPP pada bulan Oktober 2012 selepas tempoh konsultasi dengan sembilan lagi anggota perundingan.

Jepun secara rasmi menyertai rundingan TPP pada 23 Julai 2013.

NEGARA LAIN YANG BERMINAT
Korea Selatan menyatakan minat untuk menyertai rundingan pada bulan November 2010. Ia kemudian dijemput oleh Amerika Syarikat untuk menyertai pusingan rundingan TPP oleh Amerika Syarikat selepas kedua-dua negara itu mematerai perjanjian perdagangan bebas pada akhir Disember.

Negara-negara lain yang berminat menganggotai TPP termasuk Taiwan, Filipina, Laos, Colombia, dan Indonesia. Kemboja, Bangladesh dan India juga disebut sebagai berminat. Walau pun pada mulanya membantah, China berhasrat menyertai TPP.

MANFAAT
TPPA ialah satu bentuk perjanjian perdagangan bebas yang mempunyai banyak manfaat. Perjanjian ini melibatkan 12 negara yang mewakili 40% daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang bernilai US$107.5 trilion, dan merangkumi 793 juta penduduk.[2] Walaupun perjanjian ini tidak melibatkan China, kawasan bagi negara yang terlibat dalam perjanjian TPPA ini merupakan yang terbesar di dunia, lebih besar daripada kawasan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara atau North American Free Trade Agreement (NAFTA).

Seperti kebanyakan perjanjian perdagangan, TPPA memansuhkan tarif terhadap barangan dan perkhidmatan antara negara anggota yang boleh membawa kepada harga yang lebih murah untuk barangan dan perkhidmatan. Ia juga dijangka akan menghapuskan halangan bukan tarif untuk perdagangan dan mengharmoni dan menyeragamkan undang-undang dan peraturan antara negara anggota. TPPA meliputi bukan sahaja barangan dan perkhidmatan, tetapi termasuk perkhidmatan kewangan, telekomunikasi malah standard keselamatan makanan. Ia memberi kesan pada dasar dan peraturan dalam negara anggota.


Perjanjian ini dijangka meningkatkan lagi eksport dan pertumbuhan ekonomi, menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya membawa kemakmuran kepada 12 negara yang terlibat. TPPA juga meratakan medan persaingan dengan menggalakkan persaingan dalam ekonomi. Ia juga dapat membantu meningkatkan taraf hidup pekerja dengan penyelarasan standard undang-undang pekerja dan memelihara alam sekitar.

ISU
TPPA meliputi pelbagai isu yang disentuh secara menyeluruh dan keadaan ini banyak menimbulkan kontroversi dan menjadi topik perbincangan umum. Antara isu yang hangat dibincangkan adalah kos perubatan, paten, harta intelek, penyelesaian pertikaian antara pelabur dan negara, privasi, alam sekitar, hak pekerja, dan pertanian.

Di Malaysia, antara isu yang menjadi kebimbangan adalah dasar pemerolehan kerajaan, hak bumiputera yang melibatkan Petronas, Khazanah dan Kementerian Kewangan. Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed, disebabkan TPPA memerlukan kerajaan Malaysia mengikut standard peraturan tertentu, Petronas dan Khazanah memerlukan tempoh untuk membuat sebarang perubahan peraturan kerana mereka perlu membawa sebarang cadangan kepada ahli lembaga pengarah terlebih dahulu.

Dasar ingin membantu dan membangunkan 
usahawan-usahawan di seluruh negeri Selangor.


KUSEL merupakan sebuah kelab usahawan di negeri Selangor yang berada di bawah naungan YB Datok Seri Noh Bin Hj Omar. Ilham penubuhan KUSEL adalah daripada YB sendiri di atas dasar ingin membantu dan membangunkan usahawan-usahawan di seluruh negeri Selangor. Ditubuhkan pada 17hb Mac 2014 dan beralamat di Aras 5, Bangunan UMNO Selangor, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor.

VISI
Ke arah melahirkan generasi usahawan yang berilmu, berakhlak, berdaya saing dan berdaya maju yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

MISI
Mengumpulkan usahawan di seluruh negeri Selangor  di bawah satu bumbung sebagai tempat mereka mencari idea dan jaringan perniagaan, tempat rujukan dan bantuan perniagaan.

OBJEKTIF

  1. Mewujudkan ‘One Stop Centre’ bagi menyediakan pelbagai keperluan perniagaan dan prasarana seperti khidmat nasihat kewangan,teknikal, syariah dan fiqh muamalat serta bimbingan ‘Mentorship’.
  2. Menyediakan platform khususnya kepada usahawan yang baru memulakan perniagaan untuk mendalami pelbagai ilmu keusahaanan. Mereka juga boleh berkongsi maklumat, pandangan serta pengalaman sesame mereka atau daripada mereka yang lebih senior.
  3. Membina jaringan perniagaan di kalangan usahawan dan ahli kelab KUSEL
  4. Menyediakan ‘on-job-training’ kepada pejar-pelajar IPT di syarikat-syarikat yang berdaftar sebagai ahli serta dapat menjadikan usahawan sebagai satu pilihan kerjaya mereka.
  5. Melahirkan usahawan-usahawan yang berkualiti, berilmu, berdaya saing, berakhlak dan beriman demi menyumbang kepada ekonomi Negara sejajar dengan matlamat kerajaan.


KATA ALUAN DARIPADA PRESIDEN KUSEL: DATO’ MOHAMAD ZAINI BIN MD TAHA
Syukur Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW di atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk berkongsi serba sedikit maklumat dan rujukan mengenai KUSEL.

Pertama sekali, diucapkan ribuan terima kasih atas sokongan semua ahli KUSEL dan Mentor-Mentor yang terlibat dalam menjayakan misi dan visi KUSEL. Tidak dilupakan buat pencetus dan Penaung KUSEL YB Datok Seri Hj Noh Bin Hj Omar yang tidak jemu-jemu mengingatkan kita semua agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan menjaga nama baik KUSEL. Syukur sekali lagi kerana KUSEL diterima dan disukai oleh usahawan seluruh Selangor.

Sesungguhnya saya tidak layak mendidik sesiapa di sini cuma ingin berkongsi sedikit ilmu perniagaan buat manfaat kita bersama. Menerusi KUSEL juga saya akan membawa kita mendalami nilai-nilai murni yang sepatutnya diaplikasikan bagi membantu orang lain. Kita di dalam KUSEL seperti satu keluarga besar. Saya yakin kita pasti berjaya, tenang dan harmoni jika kita ikhlas melakukan apa sahaja.

Selaku Presiden KUSEL dan ketua dalam organisasi saya menyeru agar kita semua amalkan Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakal sebagai pegangan hidup. Ingat, “Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya tetapi hamba-hambaNya yang menzalimi diri mereka sendiri.” Saya doakan agar terus maju jaya dan dapat menggabungkan usahawan seluruh Selangor di bawah satu bumbung iaitu KUSEL. Sekian, terima kasih.

PROGRAM MENTOR MENTEE
Antara program utama KUSEL adalah mengadakan Program Mentor Mentee. Program ini bertujuan melahirkan seramai 500 usahawan yang mempunyai kedai di bawah label KUSEL di setiap daerah di negeri Selangor. Jangkamasa yang diperlukan adalah selama tiga tahun bagi merealisasikan matlamat ini. Setiap Mentor akan membimbing minimum 10 Mentee di bawah pengawasan mereka selama tiga tahun tersebut.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)


YADIM ialah sebuah badan amanah yang ditubuhkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Hussin, YAB Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada 1 Muharam 1394, iaitu 25 Januari 1974 yang bertujuan menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar berjalan seiring dan sejajar dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.

YADIM ialah sebuah badan amanah yang didaftarkan di bawah Trust Incorporation Ordinance 1952 yang bertanggungjawab secara langsung kepada YAB Perdana Menteri. Pengurusan YADIM bermula dengan Yang Dipertuanya yang pertamanya, iaitu Allahyarham Tan Sri Datuk Syed Nasir bin Ismail (Tun) dan diikuti oleh beberapa orang Yang Dipertua yang berkaliber, iaitu Allahyarham YBhg. Dato’ Seri Hj. Kamaruddin bin Hj. Mohd. Isa, YB. Dato’ Dr. Mohd Yusof bin Noor (Tan Sri), YBhg. Allahyarham Tan Sri Dato’ Ainuddin bin Abdul Wahid, YBhg. Dato’ Dusuki bin Hj. Ahmad, YB. Dato’ Dr. Abdul Hamid bin Othman (Tan Sri), YBhg. Datuk Hj. Mohd. Nakhaie bin Hj. Ahmad, YBhg Datuk Dr Hj. Aziz Jamaludin bin Mhd Tahir dan YB. Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B). Buat masa ini YADIM diterajui oleh YBhg. Dr Yusri Mohamad

Setiap Yang Dipertua mempunyai idea, pendekatan visi dan misi yang tersendiri dalam menjadikan YADIM rakan pembinaan negara yang sentiasa mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kebaikan dan masa depan agama, ummah dan negara.

FUNGSI TERAS
1. Menyelaras kegiatan dakwah Islam
2. Menyelaras kegiatan dakwah Islam melalui pendekatan sosial
3. Melahirkan pendakwah Islam berpengetahuan dan berkemahiran

Sejak YADIM telah diperkenalkan kepada dunia luar, YADIM telah mengembangkan operasinya ke serata pelosok dunia dan ini adalah di antara pencapaian-pencapaian yang telah dilaksanakan:
YADIM telah mencapai pensijilan ISO 9001:2008 pada 8 Jan 2009 dan ini kerana komitemen dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh tenaga kerja YADIM daripada semua peringkat dan semua jabatan.

Menganjurkan aktiviti-aktiviti bertaraf Antarabangsa seperti Multaqa Ulama Sedunia (2003), Alumni Al-Azhar (2003) dan Seminar Ahli Sunnah Waljamaah (2005). YADIM telah berjaya mengusahakan program-program dakwah dan kemasyarakatan seperti Program Ibu Mithali dan Bulan Dakwah.

Telah berjaya menjalankan Konvoi Jelajah Kebangsaan 2010/ Jelajah Kembara YADIM 1Malaysia yang mernagkumi Malaysia, Indonesia, Myanmar, India, Pakistan dan Jordan.
YADIM juga telah terlibat dalam Malaysian International Halal Seminar & Exhibition (MIHAS) (2003).

YADIM telah menganjurkan Program Dakwah Negara dengan pelaksanaan 35 program yang bertumpu di Universiti Kebangsaan Malaysia (2014). Antara program yang dimuatkan adalah Kongres NGO Islam, Konvensyen Muamalah, Bicara Sakinah, Ijtimak Ahlu Sunnah wal Jamaah, Muzakarah Jenayah Syariah dan Konvensyen Kepimpinan.

Yadim telah menggerakkan tugas-tugas menyelaras kegiatan dakwah Islam dengan mengadakan Siri-siri Bengkel Pelan Strategik Dakwah termasuk aktiviti dakwah di Sabah dan Sarawak.

Pada tahun 2014, Anugerah Keluarga Mithali telah dianjurkan dengan memberi pengiktirafan kepada para ibu melalui Anugerah Ibu Mithali, bapa melalui Anugerah Bapa Mithali, golongan muda dengan Anugerah Pewaris Harapan dan seterusnya Anugerah Keluarga Mithali.

YADIM telah mewujudkan Felo Dakwah YADIM sebagai usaha memantapkan lagi kegiatan dakwah di Malaysia. Felo Dakwah yang dilantik terdiri daripada golongan profesional, akademik dan aktivis masyarakat yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Sehingga hari ini, seramai 13 orang Felo Dakwah telah bersama YADIM termasuk Prof Muhaya Mohamad, Ustazah Nik Salida Suhaila dan Dr. Zaharuddin Abd Rahman.

YADIM juga telah menjalin sinergi bersama Ikon Dakwah YADIM yang terdiri daripada golongan selebriti yang mempunyai imej dakwah dan boleh menarik minat masyarakat khususnya generasi muda. Antara mereka adalah Heliza Helmi, Amin Idris dan Diana Amir.

Usaha melahirkan pendakwah Islam muda yang berpengetahuan dan berkemahiran telah dirancakkan dengan pelbagai program seperti Jejak Menara, Nadwah QiYADI, Kem Daie Muda Matrikulasi, Kem QiYADI, Jelajah Ilmu Mahasiswa Luar Negara dan Felo Muda Dakwah YADIM.

Buat julung kalinya, YADIM telah menganjurkan Majlis Anugerah Dakwah Negara yang mengiktiraf golongan pendakwah. Enam kategori anugerah yang disediakan adalah Anugerah Pendakwah Negara, Anugerah Pendakwah Wanita, Anugerah Pendakwah NGO, Anugerah Pendakwah Saudara Kita, Anugreha Pendakwah Seni Hiburan dan Anugerah Pendakwah Muda.


PROGRAM DAKWAH NEGARA
Penganjuran Bulan Dakwah telah mula diadakan pada tahun 1978. Kemudiannya dihidupkan kembali pada tahun 2009, di mana Majlis Perasmian Bulan Dakwah Kebangsaan pada 19 Februari 2009 telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Penganjuran ini telah diadakan di seluruh negara, di mana program-program yang dijalankan turut melibatkan kerjasama erat YADIM dan agensi-agensi kerajaan, jabatan-jabatan agama Islam negeri, agensi swasta, badan korporat dan masyarakat awam di semua peringkat.

Selaku salah sebuah agensi yang bertanggungjawab menyelaraskan kegiatan dakwah di negara ini, YADIM mengambil inisiatif sekali lagi menganjurkan Bulan Dakwah tetapi telah dijenamakan dengan menggunakan nama Program Dakwah Negara pada tahun 2014. Kemuncaknya adalah Temasya Muamalah Islam yang akan diadakan dari 29 Mei hingga 1 Jun 2014 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia.

YADIM telah menggariskan beberapa objektif penting penganjuran Program Dakwah Negara 2014 :
Mendidik ummah agar sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Menyemarakkan semangat dakwah di kalangan pemimpin-pemimpin masyarakat, organisasi-organisasi Islam dan masyarakat umum.

Memberikan kesedaran kepentingan kesatuan sesama ummah di negara ini.
Menarik minat golongan non-Muslim dari kalangan masyarakat orang asli, bumiputera Sabah dan Sarawak dan kaum-kaum lain yang masih belum menerima hidayah.

Yadim anjur Temasya Muamalah Islam
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan Temasya Muamalah Islam sempena Program Dakwah Negara 2014 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bermula 28 Mei hingga 1 Jun 2014 ini.

Yang Dipertua Yadim, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, temasya itu yang merupakan kemuncak Program Dakwah Negara 2014, akan dipenuhi dengan pelbagai program berbentuk ilmiah, sukan, hiburan, kekeluargaan dan keusahawanan.

“Temasya ini dijangkakan mampu menarik 100,000 orang untuk berkunjung ke tapak pesta. Ini kerana selain 151 gerai jualan dan pameran, pelbagai program akan diadakan sepanjang temasya ini diadakan,’’

Dalam majlis hari ini, turut diadakan adalah penyampaian cek-cek penajaan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) kepada Yadim.

Dr. Asyraf Wajdi menjelaskan, Program Dakwah Negara 2014 telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-raja, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi penaung kepada program berkenaan.

Beliau berkata, antara program-program utama sepanjang temasya ini diadakan termasuk Majlis Anugerah Keluarg Mithali, Sidang Kemuncak Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam, Ijtimak Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah,  Konvensyen Kepimpinan Muda Islam, Konvensyen Muamalah Islam serta Malam Puisi Dakwah Wasatiyyah dan Malam Jasamu Dikenang.

Selain itu, menurutnya, program lain termasuk Bicara Sakinah, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Program Transformasi Diri, Pentas Deklamator Islam, Forum Haji Perdana, 24Hours Da’wah, Qiamulail Perdana, Sukan Harmoni, Pertandingan Debat Dakwah Negara, Pertandingan Lagu-lagu Dakwah, Malam Ekspresi Cinta Allah dan Rasul dan banyak lagi.

Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI)


Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) merupakan sebuah organisasi kesukarelaan yang berorientasikan projek, beramal-bakti ke arah menangani hal-hal kebajikan dan keperluan kaum wanita dan kanak-kanak.

Sejak ditubuhkan pada 17 November 1967, PERTIWI telah memainkan peranan penting dalam usaha untuk menangani isu-isu gender dan mengangkat hak-hak wanita di Malaysia. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, kebajikan, sosial dan keagamaan telah dilaksanakan, dengan tujuan untuk mendidik, memupuk dan memperkasakan wanita, tetapi pada waktu yang sama, mengekalkan peranan tradisi kekeluargaan.

Lima matlamat penubuhannya telah memberi ruang dan peluang untuk PERTIWI bergerak menangani cabaran dan memainkan peranan penting dalam sumbangan bakti kepada masyarakat umum. Lima matlamat tersebut adalah seperti yang berikut:

Berusaha ke arah mencapai keadilan sosial dan ekonomi untuk wanita; Menyebarkan ilmu pengetahuan bagi kemajuan wanita dengan cara perbincangan, penulisan, penterjemahan dan penyiaran; Berusaha meninggikan taraf pelajaran dan pendidikan bagi wanita dan kanak-kanak;
Berusaha supaya mana-mana undang-undang berkaitan dengan hak-hak wanita dilaksanakan dengan adil; dan Menyokong dan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan wanita lain yang bertujuan sama.

PERTIWI ditubuhkan pada November 1967, ketika Malaysia baru mencapai kemerdekaan dan menunggu pembaharuan untuk mengangkat statusnya ke tahap kemerdekaan dunia barat. Banyak aspek yang perlu diperbaiki. Walaupun agak muda pada masa itu, ahli-ahli PERTIWI bersemangat terhadap misi mereka untuk berkhidmat kepada negara muda ini dengan fokus kepada hal-hal berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak.


Ahli-ahli PERTIWI yang bertuah kerana berkelulusan pengajian tinggi dan pernah melihat dunia luar, dengan ilmu yang ditimba secara meluas, mereka memikul tanggungjawab untuk menangani isu-isu yang mendesak, bersama beberapa pasukan sukarela yang lain.

Bagi menangani isu-isu utama seperti ketidaksamaan jantina dalam sistem dan hak wanita Islam dalam undang-undang Syariah, ahli-ahli PERTIWI berusaha keras melobi untuk memberi kesedaran tentang keperluan untuk mencapai kesamaan terutamanya dalam sistem pendidikan dan tenaga kerja. Kepahitan situasi wanita Islam dalam pelaksanaan undang-undang Syariah ketika itu amat merisaukan. Resolusi telah dibentangkan melalui seminar dan persidangan untuk diserahkan kepada Kementerian Hal Ehwal Wanita (Ministry for Women’s Affairs) dan pihak yang berkenaan. Dorongan dan usaha gigih ahli-ahli PERTIWI dari 1967 sehingga 1990-an telah berjaya melaksanakan reformasi dalam kesamaan jantina di negara ini serta pelaksanaan yang lebih baik dalam undang-undang Syariah.

Atas kesedaran bahawa ibu memainkan peranan penting dalam pendidikan dan pengasuhan anak-anak, PERTIWI memulakan program-program yang menekankan kepentingan peranan ini. Dalam tahun-tahun awalnya, PERTIWI memberikan perhatian tambahan kepada ibu-ibu yang berpendidikan rendah atau tidak berpendidikan dan mereka diajar kemahiran asas membaca dan menulis. Kursus dijalankan untuk membuka minda mereka kepada keistimewaan pendidikan tinggi dan peluang yang menanti mereka dan anak-anak mereka.


Mereka yang mempunyai anak-anak kecil digalakkan menghantar anak-anak ke tadika-tadika yang dikendalikan PERTIWI. Pada awal 1970, PERTIWI telah menghantar seorang guru untuk menjalani latihan Montessori di UK. Sekembali ke Malaysia, guru ini telah melatih guru-guru lain dalam penggunaan pendekatan Montessori. Kanak-kanak yang menghadiri tadika PERTIWI berupaya membaca pada umur yang agak muda melalui pendekatan ini.
PERTIWI menawarkan satu pendekatan baru kepada pendidikan awal yang bertujuan untuk membuka minda kanak-kanak melalui sesi bercerita, muzik, seni dan ekspresi kreatif yang lain. Taman permainan tadika PERTIWI dilengkapi dengan rangka panjat yang kukuh dan set permainan untuk membina keyakinan kanak-kanak dalam pembangunan kemahiran motor secara menyeluruh. Untuk membiayai projek PERTIWI, program mengutip dana diadakan secara tetap. Bazar, pesta ria dan karnival adalah acara popular. Begitu juga konsert dengan penyertaan penyanyi popular pada masa itu. Satu acara mengutip dana yang bersifat lebih elitis ialah golf amal.

PERTIWI dengan bangganya menjadi organisasi sukarela pertama yang menganjurkan acara sedemikian lebih daripada 40 tahun lalu. Sejak itu, banyak organisasi lain membawa idea ini ke tahap yang lebih tinggi dengan melibatkan penaja korporat besar dan hadiah lumayan. 

Bagaimanapun, PERTIWI tidak menganjurkan acara golf amal beberapa tahun ini. Kebanyakan penyokong golf PERTIWI yang dahulunya bersemangat kini sudah berumur dan tidak lagi berminat untuk menyertai pertandingan golf. Untuk menghidupkan semula acara mengutip dana ini, PERTIWI berharap dapat menarik ahli-ahli muda yang dapat menjadikannya satu acara bermusim tetap demi perjuangan ini.

Dari masa ke semasa, PERTIWI mengadakan sesi klinik sehari di kampung-kampung kawasan terpencil Malaysia. Dengan bantuan doktor dan jururawat sukarelawan serta pembiayaan kecil, PERTIWI berjaya menganjurkan klinik sehari yang menyediakan nasihat perubatan asas kepada penduduk kampung.

Walaupun terdapat klinik kerajaan, ramai menyambut baik penerimaan nasihat perubatan dari perkhidmatan yang dibawa ke depan pintu mereka. Penyakit biasa yang menyebabkan rasa tidak selesa dan perasaan malu, walaupun tidak wajar, dapat dirawat dengan mudah oleh doktor sukarelawan. Terdapat juga kes-kes yang lebih serius yang berpotensi mengancam nyawa telah didiagnosis awal dan dirujuk kepada pakar untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan.

Projek Anak Angkat PERTIWI dilaksanakan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar. Dengan hanya RM80 sebulan, seorang ibu atau bapa angkat boleh meringankan tanggungan keperluan tambahan seorang kanak-kanak sepanjang tahun-tahun persekolahannya. Sesetengah ibu bapa angkat memantau kemajuan kanak-kanak itu dengan penuh kesabaran manakala yang lain hanya menyumbang amaun yang diperlukan untuk meringankan beban kewangan anak angkat.

PERTIWI sukacita mendapati kebanyakan anak angkat kami mencapai kejayaan dalam pelajaran dan kerjaya mereka. Kini banyak organisasi korporat mempunyai Program Anak Angkat mereka sendiri, maka PERTIWI telah mengurangkan aktiviti projek ini.


Projek dengan ibu-ibu tunggal sentiasa menjadi keutamaan PERTIWI. Selain memberi kaunseling, PERTIWI membantu menyediakan latihan pelbagai kemahiran untuk membolehkan ibu-ibu tunggal menambahkan pendapatan mereka untuk hidup dengan selesa atau sekadar.

Dengan perubahan masa, isu-isu yang dihadapi PERTIWI beberapa dekad yang lalu telah diganti dengan masalah sosial yang lebih besar. Wanita kini mempunyai pendidikan yang baik dan ramai mencari peluang yang lebih baik di Kuala Lumpur dan bandar lain. Penghijrahan ke kawasan bandar telah membawa masalah yang berpunca daripada kekurangan penginapan yang selamat untuk wanita muda yang ada kalanya bergantung pada rakan lelaki untuk menyediakan penginapan sementara apabila mereka masih baru di bandar tetapi kemudiannya mendatangkan pelbagai masalah lain yang dihadapi wanita muda. Kami sering membaca kes-kes sebegini dalam akhbar apabila ditonjolkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah gadis muda tidak mahu dipimpin tetapi menghendaki kebebasan penuh untuk melakukan apa yang mereka ingini. Apa yang PERTIWI berhasrat untuk membantu ialah wanita muda yang benar-benar ingin berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang yang lebih baik tanpa diambil kesempatan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab. Kami berhasrat untuk menyediakan tempat tinggal sementara sehingga mereka menjumpai penginapan yang sesuai di tempat lain. Kami juga ingin menjadi “rumah jauh dari rumah” mereka, iaitu tempat yang mereka boleh kembali untuk meluaskan jaringan dan mendapat bimbingan selanjutnya.

PERTIWI juga berhasrat untuk terus menyediakan jalan dan pelantar bagi wanita menyuarakan kebimbangan mereka serta mengembangkan dan memupuk bakat mereka dalam pertubuhan yang tidak mendiskriminasi atau menyekat harapan, aspirasi dan impian. Bagi warga tua, PERTIWI berhasrat untuk menyediakan tempat pemulihan, rekreasi dan aktiviti-aktiviti rangsangan lain. Mereka yang terlibat dalam PERTIWI pada tahun-tahun awalnya kini berada dalam umur 70-an dan 80-an. Mereka memahami keperluan untuk pusat komuniti warga tua yang sedemikian.

Penerapan nilai positif pada golongan muda adalah sesuatu yang tidak ternilai. Pendidikan formal telah disediakan dengan secukupnya oleh kerajaan. Bagaimanapun, pemupukan kekuatan batin dan penggalakan golongan muda dalam pemegangan nilai positif dan etika tinggi memerlukan program pendidikan berlainan yang PERTIWI berhasrat untuk menyediakan melalui kursus pendek yang dianjurkan sama ada pada hujung minggu atau cuti penggal. Diharapkan bahawa dengan asrama dan kemudahan yang sesuai, kursus-kursus ini boleh diadakan secara berkesan dengan kerjasama agensi-agensi lain yang mempunyai matlamat dan objektif serupa.

Wanita yang tinggal di Lembah Klang mempunyai keperluan tinggi terhadap bilik seminar, terutamanya untuk kelas dan ceramah. Tiada banyak tempat yang sesuai dan mampu dimiliki untuk mengadakan kelas-kelas yang digemari ini yang kini sering diadakan di kelab golf, rumah persendirian dan lain-lain. Dengan adanya pusat komuniti PERTIWI, semua aktiviti wanita dan kanak-kanak boleh diadakan di satu tempat. PERTIWI berhasrat untuk menyediakan ruang yang secukupnya untuk memenuhi hasrat pencarian ilmu yang berterusan.

Pendidikan komputer untuk generasi lebih tua merupakan satu lagi bidang yang diberikan perhatian PERTIWI. Kursus celik komputer akan terus diadakan untuk memastikan setiap warga mengikuti perkembangan kemajuan teknologi terkini. Semangat kesukarelawanan agak kurang dalam generasi muda kita. Mengimbas kembali, ahli-ahli pengasas PERTIWI masih muda apabila mereka menyedari perlunya memberi sumbangan tanpa mementingkan diri demi pembangunan sebuah negara muda dan rakyatnya. Memang diakui bahawa tiada lagi desakan sedemikian kerana rakyat Malaysia kini dapat menikmati keistimewaan setaraf dengan rakyat di negara-negara yang lebih maju. Bagaimanapun, akan sentiasa adanya ramai yang masih meminta pertolongan pasukan sukarelawan untuk sokongan dan bimbingan dan ada yang masih menerima manfaat daripada kerja yang dicabar dan dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan.

Satu kajian baru-baru ini mendapati bahawa lebih daripada 30% keluarga tidak tahu di mana anak-anak mereka berada pada kebanyakan masa. Mereka tidak duduk bersama-sama semasa makan dan tiada komunikasi kerap atau interaksi antara satu sama lain. Hasil daripada kekurangan perhubungan dan pengawasan ibu bapa, kemungkinan besar anak-anak akan beralih kepada rakan mereka untuk persahabatan dan bimbingan dalam tahun-tahun formatif penting mereka. Dari masa ke semasa, PERTIWI menganjurkan program-program khusus untuk menangani isu-isu rumahtangga dengan harapan untuk memperkukuhkan ikatan antara ibu bapa dan anak-anak mereka.

Pemahaman dan pengakuan terhadap keperluan dan harapan sesama anggota menjadi asas kepada kepercayaan dan penghormatan. Keluarga yang pecah belah akibat konflik seringnya akan menolak sebarang usaha untuk berdamai. Bagaimanapun, mereka yang menampil untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan tentunya telah mengolah langkah ke arah penyelesaikan isu terbesar mereka. PERTIWI telah dan akan terus memainkan peranan dalam bidang ini. Bilangan ibu Muslim yang tidak bernikah semakin meningkat di Malaysia, terutamanya di kawasan bandar. Ramai memilih untuk tidak memaklumkan ibu bapa atau saudara-mara mereka di kampung. Kerap kali, bapa kepada anak yang dilahir juga lama menghilangkan diri. Usaha PERTIWI adalah memberi nasihat kepada ibu-ibu tanpa nikah, dan sekiranya perlu, menyediakan penginapan kepada mereka sehingga bayi dilahirkan. Kita telah mendengar kes-kes sedih yang bayi dilahirkan di tandas atau dibiarkan mati di longkang.

Perlindungan juga diberi oleh pasukan sukarelawan yang dikendalikan oleh penganut Islam, Kristian dan Buddha. Kita tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa kes-kes ini adalah benar dan masih akan berlaku. Kita tidak boleh mengutuk dengan sewenang-wenangnya. Sehingga satu penyelesaian ditemui, kita mesti cuba untuk membantu ibu-ibu tanpa nikah yang sering tertekan.